29 “Ironman” Pakistan Ditolak Kemasukan di Langkawi Langkawi, 4 September 2024– Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah telah menolak kemasukan seramai 29 warganegara Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi setelah didapati mencurigakan. Kumpulan yang terdiri daripada 28 lelaki dan 1 wanita itu tiba pada 4 September 2024 dengan penerbangan FZ1603. Mereka dikatakan datang untuk menyertai Tuba Cross Country Run di Pulau Tuba yang dijadualkan berlangsung pada 7 September 2024. Menurut Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan bin Mohd Zain, siasatan awal mendapati kumpulan tersebut membelanjakan hampir RM2,000 untuk penerbangan dan perbelanjaan lain, namun yuran penyertaan larian hanyalah RM45 dengan hadiah utama sebanyak RM300. Lebih meragukan, mereka hanya membawa kurta, tanpa pakaian dan kasut sukan yang sesuai untuk acara tersebut. “Persoalannya, mengapa mereka tidak membawa pakaian yang sesuai untuk larian? Adakah ini sebahagian daripada strategi untuk menyembunyikan motif sebenar mereka?” ujar Mohd Ridzzuan. Kumpulan ini turut menempah bilik di sebuah hotel bajet dan merancang untuk meninggalkan Malaysia sehari selepas acara, menimbulkan kecurigaan pegawai Imigresen. Kebanyakan peserta biasanya mengambil kesempatan untuk melancong dan meneroka Pulau Langkawi selepas acara, namun kumpulan ini seolah-olah tergesa-gesa meninggalkan negara. Penganjur Tuba Cross Country Run turut mengesahkan bahawa tiada peserta asing lain yang mendaftar selain kumpulan ini. Berdasarkan motif yang mencurigakan dan tidak munasabah, pegawai Imigresen memutuskan untuk menolak kemasukan mereka di bawah Seksyen 8(3)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki bukan pelancong tulen. Semua 29 individu tersebut telah dihantar pulang ke negara asal mereka selepas diberikan notis penolakan masuk. Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi terhadap kemasukan pelawat yang tidak memenuhi syarat dan akan terus mengambil tindakan tegas di bawah Akta Imigresen dan undang-undang berkaitan. Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah juga berikrar untuk melindungi keselamatan dan integriti negara daripada sebarang ancaman atau tindakan yang mencurigakan. #imigresen#JIMK#operasi#notispenolakanmasuk#pulaulangkawi#LTALangkawi